KUCHING, 15 Nov (Bernama) -- Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) digesa melangkaui kaedah kempen konvensional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 serta menguasai teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) bagi menghadapi cabaran landskap politik masa kini, kata Naib Presiden Kanan PBB Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata ancaman seperti penyebaran berita palsu, manipulasi imej serta penghasilan video janaan AI yang direka untuk kelihatan seolah-olah asli menuntut keupayaan kepimpinan muda untuk menguasai literasi digital dan mengemudi naratif sebenar perjuangan parti.
"Pemuda bukan sekadar gantung poster, wanita pergi rumah ke rumah, kita kena juga bersemuka dan pada masa sama pastikan sosial media dipenuhi dengan cerita kita.
“Kalau tidak, orang lain akan buat kita yang pelik-pelik di sosial media… (Dalam video) suara kita, muka kita, badan kita tetapi bukan kita. Kalau kita mahu menang besar, itu yang harus kita lakukan," katanya ketika berucap pada Konvensyen Khas Parti PBB Sarawak Zon Selatan di sini hari ini.
Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa konvensyen khas itu menyeru agar seluruh kekuatan parti digembleng secara padu bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara dan kemenangan besar berpihak kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN Sarawak kali ini.
GPS dianggotai PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihan raya bagi PRN Sarawak akan berlangsung pada 12 Dis, manakala hari penamaan calon pada 28 Nov dan pengundian awal pada 8 Dis ini.
-- BERNAMA