KUCHING, 15 Nov (Bernama) -- Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan senarai penuh kesemua 82 calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada 25 Nov ini, kata Pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Abang Johari yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) turut membayangkan kemungkinan berlaku perubahan dalam senarai calon parti itu bagi memberi peluang kepada gabungan pemimpin muda dan berpengalaman.
“Sudah tentu ada kemungkinan pertukaran... kita (GPS) mempunyai yang muda dan yang berpengalaman sebagai calon-calon yang akan diketengahkan.
“Kita akan kongsikan pada 25 Nov ini. Semua 82 calon, tunggulah kelak,” katanya kepada pemberita selepas majlis Konvensyen Parti PBB Zon Selatan di sini hari ini.
Terdahulu, ketika berucap pada majlis itu, Abang Johari menyeru anggota PBB yang tidak dicalonkan dalam PRN kali ini untuk terus memberi sokongan kepada mana-mana calon dipilih.
Beliau berkata semangat dan budaya saling memberikan sokongan menjadi asas kejayaan PBB yang merupakan parti tunjang dalam GPS.
Sebelum ini, Abang Johari dilaporkan memberi bayangan bahawa lapan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada GPS berkemungkinan dikekalkan sebagai calon, membabitkan empat wakil PBB iaitu Fazzrudin Abdul Rahman, Datuk Ibrahim Baki, Datuk Hamzah Brahim dan Datuk Martin Ben.
Empat lagi penyandang daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) iaitu Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Datuk Lo Khere Chiang, Wilfred Yap Yau Sin dan Datuk Ding Kuong Hiing.
GPS terdiri daripada empat parti komponen iaitu PBB, SUPP, Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 8 Dis dan hari mengundi pada 12 Dis.
-- BERNAMA