06/11/2026 08:27 PM

BN-PN Lancar Manifesto PRN Melaka

BN-PN Lancar Manifesto PRN Melaka
fb Ab Rauf Yusoh

MELAKA, 6 Nov (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hari ini melancarkan manifesto bersama bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh ketika membentangkan manifesto bertemakan “Membina Masa Depan Melaka, Memakmurkan Negara” yang mengandungi 113 inisiatif itu berkata penekanan utama melibatkan kos sara hidup, pendapatan, tempat tinggal dan masa depan keluarga. 

Beliau berkata inisiatif dalam aspek ekonomi antara lain melibatkan sasaran membawa masuk pelaburan bernilai hingga RM30 bilion merangkumi pembangunan kawasan baharu dan sektor ekonomi berteknologi tinggi.

“Seiring dengan itu, dalam aspek pendidikan anak-anak Melaka dari keluarga B40, kita tawarkan bantuan sekali beri untuk mengikuti program pensijilan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan kita juga mahu menjadikan negeri ini sebagai hab TVET nasional.

“Kita juga berikan komitmen untuk pemberian air percuma bagi penggunaan domestik di bawah 20,000 meter padu sebulan, tiada kenaikan kadar cukai tanah dalam tempoh lima tahun dan bantuan dana perniagaan kepada peniaga kecil,” katanya pada majlis pelancaran manifesto berkenaan di Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Menteri Besar Pahang dan Setiausaha Agung PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Dalam majlis sama, Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata BN telah berjaya melaksanakan hingga 97 peratus daripada manifesto yang ditawarkan gabungan itu semasa PRN Melaka ke-15 pada tahun 2021.

PRN Melaka yang melibatkan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menyaksikan BN bertanding di 23 kerusi, manakala PN di lima kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada Selasa ini.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026.

-- BERNAMA