ALOR GAJAH, 3 Nov (Bernama) -- Komuniti nelayan di Kuala Linggi berharap isu berkaitan kebajikan, kemudahan pergerakan keluar masuk bot ke laut dan ketidaktentuan pendapatan mereka diberi perhatian serius oleh calon yang mendapat mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 kelak.
Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Barat Mazli Abd Ghani berkata aspek bantuan kewangan kepada nelayan dan pendalaman muara Sungai Kuala Linggi bagi memudahkan aktiviti menangkap ikan perlu diberi keutamaan.
Beliau berpengalaman lebih 25 tahun sebagai nelayan berkata ini kerana hasil tangkapan semakin merosot saban tahun, selain perubahan keadaan perairan yang menjejaskan aktiviti perikanan.
“Calon yang bertanding diharapkan dapat membawa isu-isu ini dan mencari jalan penyelesaian yang sewajarnya,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Seorang lagi nelayan Saad Johan, 62, berkata keadaan perairan yang semakin cetek di kawasan berkenaan menjejaskan pergerakan bot nelayan, khususnya ketika air surut, menyukarkan mereka keluar masuk ke laut.
“Harap pihak berkaitan sediakan pelantar atau pelampung tambahan untuk lancarkan pergerakan bot,” kata warga emas itu yang 41 tahun bekerja sebagai nelayan.
Azmi Buyaman, 42, pula berkata pendapatan sebagai nelayan kini tidak menentu dan merosot sehingga hampir separuh berbanding sebelum ini, sekali gus memberikan kesan kepada kelangsungan hidup mereka.
“Harap kebajikan nelayan diberi perhatian menerusi bantuan bersesuaian. Selain itu, mesti ada langkah jangka panjang bagi memastikan sumber pendapatan kami lebih terjamin,” katanya yang lebih 20 tahun menjadi nelayan.
Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Kuala Linggi Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah berkata isu nelayan antara perkara setempat yang diberi perhatian selain banjir, peluang pekerjaan dan rangkaian Internet.
Beliau berkata isu berkenaan perlu diperjuangkan oleh semua calon yang bertanding di kawasan itu supaya mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya pada peringkat atasan.
Pengundian awal PRN Melaka ke-16 ditetapkan pada 10 Nov, manakala hari pengundian pada 14 Nov ini.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.
-- BERNAMA