03/11/2026 03:14 PM

Manifesto PH 'Aspirasi Melaka Rumah Kita' Gariskan Tiga Teras, 12 Keutamaan

Manifesto PH 'Aspirasi Melaka Rumah Kita' Gariskan Tiga Teras, 12 Keutamaan
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil Adly Zahari (duduk, tengah) yang juga merupakan Pengerusi Pakatan Harapan Melaka pada sesi sidang Media Harian PH berkaitan pembentangan dan pelancaran manifesto PH bagi Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 di Bilik Gerakan Utama PH hari ini.

MELAKA, 3 Nov (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Melaka menawarkan pentadbiran bersih, telus dan cekap sebagai hala tuju pembangunan negeri menerusi manifestonya ‘Aspirasi Melaka Rumah Kita’, yang menggariskan tiga teras utama serta 12 keutamaan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi PH Melaka Adly Zahari berkata tiga teras utama yang diketengahkan ialah transformasi Smart Melaka bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan serta kualiti hidup rakyat, membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda dan memartabatkan industri pelancongan.

“Menerusi teras kedua, PH mencadangkan 30 peratus daripada kontrak kerja pihak berkuasa tempatan (PBT) diperuntukkan kepada golongan belia dan beliawanis bagi membuka peluang pekerjaan, perniagaan serta pengalaman kepada generasi muda tempatan.

“Bagi sektor pelancongan pula, PH menyasarkan untuk meningkatkan kehadiran 25 juta pelancong ke Melaka menjelang 2032, sekali gus menjadikan negeri ini destinasi pelancongan yang lebih berdaya saing dan bertaraf antarabangsa,” katanya pada sidang media harian dan pelancaran manifesto ‘Aspirasi Melaka Rumah Kita’ di Bilik Gerakan Utama PH di Bukit Piatu di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi PH Melaka Khoo Poay Tiong dan Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Adam Adli Abd Halim.

Adly berkata 12 aspirasi yang digariskan turut merangkumi penyediaan rumah untuk rakyat, kerajaan mesra rakyat, pekerjaan berkualiti, pemerkasaan wanita dan usahawan serta kebajikan rakyat sebagai keutamaan kerajaan.

Beliau berkata aspirasi lain ialah melancarkan sistem lalu lintas, memperkasakan syiar Islam dan institusi agama, mewujudkan kerajaan bersih, telus dan berintegriti, mengusahakan tanah terbiar sebagai peluang ekonomi, mengoptimumkan penggunaan tanah negeri serta memelihara perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Katanya, tawaran itu dirangka berdasarkan input yang diperoleh menerusi pertemuan dengan rakyat dan peniaga, selain mengambil kira pengalaman PH berkhidmat di peringkat negeri dan Persekutuan.

“Dengan tiga keutamaan dan 12 aspirasi, inilah hala tuju ‘Aspirasi Melaka Rumah Kita’, kerajaan yang menjaga amanah, membuka peluang pendapatan dan memastikan pembangunan memperbaiki kehidupan seluruh rakyat.

“Kita harap aspirasi ini boleh dibincangkan dan diutarakan, di samping kita akan mengemukakan lagi beberapa fokus untuk memastikan janji memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, terutama dalam membantu (meringankan) kos sara hidup mereka,” katanya.

Adly berkata pelancaran manifesto itu lebih awal, iaitu empat hari selepas penamaan calon, bertujuan memberi ruang kepada rakyat untuk meneliti dan membincangkan tawaran berkenaan, selain membolehkan PH mengemukakan beberapa fokus tambahan sepanjang tempoh kempen.

Beliau berkata usaha memberikan khidmat terbaik kepada rakyat, khususnya dalam membantu menangani kos sara hidup dan meningkatkan kualiti kehidupan mereka, kekal menjadi keutamaan PH.

“PH turut merancang beberapa siri forum dan program bagi memperincikan setiap aspirasi yang dikemukakan kepada rakyat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16,” katanya.

Pengundian awal PRN Melaka ke-16 ditetapkan pada 10 Nov manakala hari pengundian pada 14 Nov ini.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/

-- BERNAMA