31/10/2026 06:26 PM

Banjir Di Kedah, Negeri Sembilan Pulih, Jumlah Mangsa Di Perak Berkurangan

Banjir Di Kedah, Negeri Sembilan Pulih, Jumlah Mangsa Di Perak Berkurangan
fb Malaysian Meteorological Department

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Banjir di Kedah dan Negeri Sembilan pulih sepenuhnya selepas kesemua tiga pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup hari ini.

Di KEDAH, PPS terakhir di daerah Pendang yang dibuka sejak Rabu lepas, iaitu Dewan Pejabat Penghulu Mukim Bukit Raya yang menempatkan sembilan orang daripada dua keluarga ditutup pada 10 pagi tadi dan kesemua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas air surut sepenuhnya.

Di NEGERI SEMBILAN, dua PPS di Kuala Pilah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Undang Johol dan Dewan Orang Ramai Dangi yang menempatkan 87 orang daripada 35 keluarga juga ditutup sepenuhnya pada 4 petang ini berikutan cuaca baik dan air surut sepenuhnya.

Situasi banjir di PERAK turut menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang berlindung di PPS SK Titi Serong di daerah Kerian berkurangan kepada 25 orang daripada sembilan keluarga berbanding 34 orang daripada 12 keluarga pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari Taman Aman Sejahtera dan Taman Desa Aman 1 ditempatkan di PPS itu sejak Khamis lepas.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan hujan diramalkan berlaku di daerah Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim malam ini.

-- BERNAMA