31/10/2026 05:38 PM

JPA Yakin Penjawat Awam Patuhi Larangan Penggunaan Waze

JPA Yakin Penjawat Awam Patuhi Larangan Penggunaan Waze

KAMPAR, 31 Okt (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yakin penjawat awam akan mematuhi sepenuhnya larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze yang diputuskan kerajaan atas faktor keselamatan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Dr Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata walaupun tahap pematuhan terhadap arahan itu belum dapat dipastikan memandangkan ia baru diumumkan, pihaknya percaya penjawat awam memandang serius keputusan berkenaan.

Beliau berkata larangan itu bertujuan melindungi keselamatan maklumat dan data, dengan mengambil iktibar daripada pengalaman negara lain yang menggunakan aplikasi berkenaan.

"Kita sedia maklum bahawa larangan tersebut atas dasar keselamatan di mana penjawat awam tidak dibenarkan lagi menggunakan Waze. Kita belajar daripada apa berlaku kepada negara-negara lain yang menggunakan aplikasi tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA di Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Baharu di sini hari ini.

Pada 21 Okt lepas, kerajaan memutuskan untuk melarang semua penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan oleh rejim Israel.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Dahlan berkata sebanyak RM1.465 juta diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan pendidikan menerusi Program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI JPA yang memberi manfaat kepada penduduk Kampung Kota Bharu dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar di sini.

Beliau berkata bagi Kampung Angkat MADANI, peruntukan RM500,000 daripada Kementerian Kewangan dan RM35,000 daripada JPA digunakan untuk melaksanakan lapan projek fizikal, termasuk menaik taraf Masjid Jamek, dewan orang ramai, klinik kesihatan, balai polis dan astaka SK Kota Baharu, selain pembinaan mercu tanda kampung serta penyediaan papan pintar.

Katanya kerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah turut menyediakan pemasangan 40 unit lampu solar bernilai RM380,000, manakala Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri memperuntukkan RM450,000 bagi pembinaan dewan serba guna baharu yang menempatkan dua gelanggang badminton yang masih dalam pelaksanaan.

Wan Ahmad Dahlan berkata SMK Malim Nawar turut menerima peruntukan sebanyak RM90,000 untuk menaik taraf makmal komputer, bengkel Reka Bentuk dan Teknologi serta makmal sains, manakala RM10,000 disalurkan untuk program pembangunan pendidikan pelajar dan guru menerusi Program Sekolah Angkat MADANI.

"Selain pembangunan fizikal, pelbagai program kemasyarakatan dan pendidikan dilaksanakan, termasuk Program Ibadah Korban, GP Joran, Sukan Rakyat, Jelajah Kesihatan dan Psikologi, Tuisyen MADANI, gotong-royong serta Karnival Wira Komuniti,” katanya.

Pada majlis itu, turut menyaksikan penyampaian Bakul Rahmah kepada 97 keluarga di Kampung Kota Bharu, selain sumbangan kepada sekolah dan penghargaan kepada rakan strategik.

Wan Ahmad Dahlan turut menzahirkan rasa bangga atas kejayaan pasukan SK Kota Baharu meraih pingat emas menerusi inovasi Ecowire Roll pada International Innovation and Entrepreneurship Expo 2026 pada 25 Okt lepas.

Beliau turut mengiktiraf pencapaian seorang pelajar perempuan SMK Malim Nawar Nur Airis Arissa Azman, 13, yang diberi peluang mewakili Selangor dalam kejohanan bola sepak anjuran Persaturan Bolasepak Selangor (FAS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Katanya pencapaian tersebut membuktikan anak-anak luar bandar mampu menyerlah apabila diberikan peluang, kemudahan dan sokongan sewajarnya.

-- BERNAMA