MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) menafikan dakwaan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai bahawa gabungan itu terlibat dalam isu penggantungan Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka Adam Adli Abd Halim menjelaskan PH tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kemelut yang dihadapi parti lain, sebaliknya menyifatkan ia sebagai masalah dalaman mereka sendiri.
Beliau berkata PH kekal berpegang kepada prinsip demokrasi yang bersih dan hanya menumpukan perhatian kepada khidmat serta tawaran mandat kepada rakyat.
“Kami menolak dakwaan itu. Ini tidak ada kena-mengena, ini bukan strategi, malah kami tidak terlibat langsung. Itu adalah konflik dalaman mereka.
“Kami di sini telah pun menetapkan bahawa pertandingan yang berlaku di Melaka ini adalah sebuah proses demokrasi untuk memberi peluang kepada masyarakat dan pengundi membuat keputusan memilih kerajaan negeri. Ia tidak ada kena-mengena dengan sebarang pertelingkahan politik yang tidak berkait,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH yang turut disertai Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Sementara itu, Adam Adli turut membidas tindakan pihak tertentu yang melancarkan serangan peribadi dan memperlekeh keupayaan barisan calon muda yang diketengahkan oleh gabungan itu.
Beliau menyifatkan sikap merendahkan calon muda sebagai tindakan tidak produktif yang bercanggah dengan aspirasi melahirkan pelapis kepimpinan negara.
Menurut Adam Adli, PH memberi ruang kepada golongan muda untuk memimpin berasaskan merit dan keupayaan semasa, tanpa perlu menunggu usia lanjut.
“Kami bercakap soal orang muda pemimpin masa depan tapi di PH, kami percaya pada kekuatan dan keupayaan mereka untuk memimpin hari ini. Tak perlu tunggu sampai mereka berusia baru mereka diberi peluang.
"Maka sebab itu kami harap pengundi-pengundi, terutama pengundi muda di luar sana, boleh mengambil masa untuk menilai apa yang ditawarkan oleh calon-calon muda yang kami tampilkan kali ini,” katanya.
SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.
-- BERNAMA