31/10/2026 04:57 PM

PRN Melaka: Perebutan 28 Kerusi Bermula, 79 Calon Berentap

PRN Melaka: Perebutan 28 Kerusi Bermula, 79 Calon Berentap
Bendera-bendera parti politik mula kelihatan sekitar jalan raya di Tanjung Bidara hari ini sempena Pilihan Raya Negeri Dewan Undangan Negeri Melaka ke-16.

MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Sebanyak 79 calon bakal berentap merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 selepas proses penamanaan calon berakhir pada 10 pagi tadi.

Mewakili pelbagai parti politik dan gabungan serta calon Bebas, mereka kini mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen sebelum pengundi membuat pilihan pada 14 Nov.

Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon paling ramai iaitu 24 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) 23, Parti Bersama Malaysia (Bersama) 16, Bersatu (tujuh), Perikatan Nasional (PN) lima dan parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra) satu selain tiga calon Bebas.

Daripada keseluruhan 79 calon, sebanyak 65 merupakan calon lelaki dan 14 wanita, dengan PH menampilkan calon wanita paling ramai iaitu enam orang, diikuti BN (empat), Bersama (dua) manakala Bersatu dan Putra masing-masing seorang calon wanita.

Dari segi usia, calon berumur 41 hingga 50 tahun membentuk kumpulan terbesar dengan 28 orang, diikuti 51 hingga 60 tahun (23), 18 hingga 40 tahun (21) dan 61 hingga 70 tahun (tujuh).

Pentas demokrasi kali ini turut menyaksikan 11 kerusi menjadi tumpuan, antaranya DUN Tanjung Bidara yang mempertemukan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh (BN) dengan muka baharu PH Mohd Yunazri Mustamiri, yang menyifatkan dirinya sebagai calon underdog dalam saingan satu lawan satu.

Turut menjadi perhatian ialah DUN Paya Rumput apabila Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Datuk Azman Abidin, 54, yang mewakili PH berdepan Rafie Ahmad (PN) dan Abdul Rashid Abu Bakar (Bersama) dalam saingan tiga penjuru.

Proses penamaan calon berlangsung di 28 pusat penamaan calon di seluruh negeri bermula 9 pagi tadi sebelum ditutup sejam kemudian.

Seperti lazimnya pada hari penamaan calon, suasana di sekitar pusat berkenaan mula meriah seawal 7 pagi apabila penyokong yang mengenakan pakaian mengikut warna parti masing-masing berkumpul sebelum mengiringi calon mereka.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata sebanyak 1,159 anggota ditugaskan di seluruh Melaka hari ini, bagi memastikan proses penamaan calon PRN Melaka ke-16 berjalan lancar dan terkawal.

Beliau berkata setakat 10.15 pagi tadi, keseluruhan proses penamaan calon berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang gangguan atau provokasi.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong parti yang menunjukkan sikap tenang dan tidak melakukan sebarang provokasi atau kekacauan," katanya kepada pemberita di Kompleks Japerun Machap Jaya, Bukit Bulat di sini hari ini.

Pengundian awal ditetapkan pada 10 Nov manakala hari pengundian PRN Melaka ke-16 berlangsung 14 Nov ini.    

Bagi mendapatkan berita terikini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/

-- BERNAMA