31/10/2026 03:37 PM

PRN Melaka: Mohd Noor Helmy Tawar Rekod Perkhidmatan Pertahan DUN Duyong

PRN Melaka: Mohd Noor Helmy Tawar Rekod Perkhidmatan Pertahan DUN Duyong
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N21 Duyong, Datuk Noor Helmy Abdul Haleem, bergambar selepas pengumuman calon di pusat penamaan calon Dewan JAPERUN Duyong, Kompleks JAPERUN Duyong sempena Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mempertaruhkan rekod perkhidmatannya sepanjang tempoh lima tahun lepas dalam usahanya mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Menyatakan kesediaan menghadapi pertandingan satu lawan satu bagi kerusi itu, beliau berkata tempoh kempen selama 14 hari akan turut dimanfaatkan sebaiknya untuk mengetengahkan hasil kerja dan pencapaian kerajaan negeri.

"Tiba masanya rakyat akan menilai hasil, apa yang telah diberikan sepanjang lima tahun pentadbiran di bawah kepimpinan (Ketua Menteri) Datuk Seri Ab Rauf Yusoh," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon DUN Duyong di Dewan Kompleks Japerun Duyong di sini hari ini.

Mengulas calon Pakatan Harapan (PH) Poo Long Suan, Mohd Noor Helmy, 45, mengakui bakal berdepan saingan sengit memandangkan pencabarnya merupakan bekas Ahli Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya yang berpengalaman.

Bekas Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri itu bagaimanapun menyambut baik persaingan berkenaan dan menyifatkannya sebagai pertandingan sihat yang memberikan ruang kepada kedua-dua calon menawarkan khidmat terbaik kepada masyarakat.

"Pastinya beliau akan memberikan satu cabaran dan tentangan yang hebat dalam persaingan sihat kita pada pilihan raya kali ini. Paling utama, kita bersama jentera yang sememangnya sudah siap sedia ini akan berkempen secara sihat dan matang," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA