KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) meraih Anugerah Platinum menerusi inisiatif Proses Pengurusan Pasport Jemaah Haji Malaysia pada Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) 2026 anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
TH dalam kenyataan memaklumkan inisiatif itu menyasarkan penghapusan tempoh pegangan pasport oleh TH sebelum berangkat ke Tanah Suci mulai Musim Haji 1448H/2027M, selaras dengan usaha mentransformasikan penyampaian perkhidmatan supaya lebih mudah, ringkas dan lancar.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata inisiatif berkenaan memberikan lebih fleksibiliti kepada bakal jemaah untuk menguruskan keperluan peribadi dan pekerjaan sepanjang tempoh persediaan menunaikan ibadah haji tanpa perlu memohon pemulangan sementara pasport daripada TH.
“Sebelum ini tempoh pegangan pasport bakal haji oleh TH adalah hingga 103 hari, namun menerusi projek rintis yang dilaksanakan pada musim haji lepas, tempoh tersebut berjaya dikurangkan kepada 56 hari.
“Pelaksanaan penuh pada Musim Haji 1448H/2027M akan menjadikan tempoh pegangan pasport oleh TH sebelum hari berlepas kepada sifar hari,” katanya.
Menerusi proses baharu itu, bakal jemaah hanya perlu menyerahkan pasport untuk pengesahan dan urusan pelepasan pada hari keberangkatan, manakala titik sentuh pengendalian pasport turut dikurangkan daripada lima kepada dua, sekali gus meminimumkan pengendalian fizikal serta proses semakan berulang.
Mustakim berkata penggunaan kaedah pengesahan biodata pasport secara digital dan pengurusan visa secara elektronik turut meningkatkan kecekapan operasi TH, selain mengurangkan keperluan bakal jemaah melakukan perjalanan tambahan untuk menyerahkan dan mengambil semula pasport.
TH merupakan antara 52 penerima Anugerah Platinum daripada keseluruhan 159 projek yang dibentangkan pada persidangan berkenaan, selain menjadi satu daripada enam agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang menyertainya.
Persidangan anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) yang berlangsung pada 28 dan 29 Okt lepas di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam menghimpunkan wakil daripada 28 kementerian dan 14 kerajaan negeri, selain agensi serta pihak berkuasa tempatan.
-- BERNAMA