31/10/2026 03:22 PM

PRN Melaka: Calon PH Machap Jaya Ajak Pencabar Berdialog, Bincang Hala Tuju Pembangunan

PRN Melaka: Calon PH Machap Jaya Ajak Pencabar Berdialog, Bincang Hala Tuju Pembangunan
Datuk Ginie Lim Siew Lin

ALOR GAJAH, 31 Okt (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya Datuk Ginie Lim Siew Lin mempelawa dua pencabarnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka untuk menyertai dialog terbuka bagi membincangkan hala tuju pembangunan kawasan berkenaan.

Beliau yang pernah memenangi kerusi berkenaan pada PRN 2018 berkata dialog itu bertujuan membuka ruang kepada perbincangan secara objektif dan konstruktif mengenai pembangunan Machap Jaya, berbanding kempen yang menjurus kepada serangan peribadi serta memburukkan pihak lawan.

“Kita berharap dapat berbincang mengenai usaha membangunkan dan menjadikan Machap Jaya sebuah kawasan yang lebih baik untuk tempoh lima tahun akan datang. Jadi, kita mahu hentikan politik yang sekadar berteriak atau memburukkan antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Kompleks Japerun Machap Jaya, Bukit Bulat di sini hari ini.

Terdahulu, Lim dilihat menyerahkan kad jemputan bersaiz A4 kepada dua lagi calon DUN Machap Jaya iaitu Datuk Ngwe Hee Sem dari Barisan Nasional (BN) dan B Prasanth Kumar mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Lim yang juga bekas Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli, menyifatkan persaingan dengan Ngwe, yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan sebagai persaingan mesra memandangkan kedua-duanya pernah mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai Exco kerajaan negeri.

Sementara itu, Ngwe berkata beliau belum memutuskan sama ada akan menerima jemputan Lim kerana perlu meneliti jadual kempen terlebih dahulu sebelum memberikan maklum balas.

"Bagi saya, sekarang lebih kepada kerja, bukan masa sesuai untuk berdialog. Masalah rakyat saya sudah tahu kerana saya telah bekerja selama lima tahun. Bukan sekarang baru hendak bertanya apa yang perlu dilakukan," kata bekas Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan. 

Ngwe berkata pengalaman lima tahun sebagai wakil rakyat membolehkannya memahami isu dan keperluan penduduk menerusi gerak kerja turun padang serta usaha menyelesaikan permasalahan masyarakat setempat.

Dalam pada itu, Prasanth Kumar menyambut baik jemputan Lim dengan menyifatkan dialog berkenaan sebagai platform untuk calon berkongsi idea dan cadangan masing-masing demi kepentingan penduduk Machap Jaya.

"Saya fikir dialog terbuka ini satu platform yang baik untuk kita mengumpulkan idea masing-masing. Setiap calon mempunyai idea berbeza, tetapi saya percaya semua mahu membantu masyarakat di DUN Machap Jaya," kata lulusan undang-undang itu.

Mengulas persaingannya menentang dua bekas exco kerajaan negeri, Prasanth Kumar berkata meskipun Bersama merupakan parti baru berusia lima bulan, beliau mempunyai pengalaman dalam bidang politik dan pentadbiran, termasuk bertanding di DUN Rim pada PRN lepas.

Beliau berkata pengalamannya turut merangkumi khidmat sebagai Setiausaha Khas hal Ehwal Masyarakat kepada bekas Ketua Menteri Melaka Adly Zahari serta pegawai tugas-tugas khad kepada bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Lim pernah memenangi kerusi Machap Jaya pada PRN 2018 dengan majoriti 1,336 undi selepas memperoleh 5,550 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Koh Nai Kwong (BN-MCA) dan Wan Zahidi Wan Ismail (PAS).

Pada PRN 2021, Ngwe pula memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 938 undi selepas memperoleh 3,732 undi dalam pertandingan lima penjuru, menewaskan calon PH Law Bing Haw, manakala Lim tidak bertanding pada pilihan raya berkenaan.

SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Bagi mendapatkan berita terikini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/

-- BERNAMA