31/10/2026 02:44 PM

PRN Melaka: PH Tetapkan "Garis Merah", Tolak Politik Kebencian Dan Adu Domba

PRN Melaka: PH Tetapkan "Garis Merah", Tolak Politik Kebencian Dan Adu Domba
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sidang media harian Jabatan Pilihan Raya PH di Bilik Gerakan Utama PH. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) menetapkan pendirian untuk tidak berkompromi dan menolak politik kebencian, adu domba serta naratif perkauman sempit sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan itu memilih untuk mengetengahkan kempen berteraskan tema “Melaka Rumah Kita”, memfokuskan kepada persaingan idea, rekod khidmat dan kebajikan rakyat.

Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kemenangan pada pilihan raya tidak dinilai melalui pihak mana paling lantang mencetuskan permusuhan, sebaliknya parti yang paling diyakini mampu membela nasib masyarakat.

"Garis merah kami (PH) adalah menolak sama sekali politik kebencian, politik adu domba, politik yang berteraskan bahawa untuk membela kaum kami, kami harus menindas kaum lain. Untuk kaum kami berjaya, kaum lain tidak punya tempat... itu kami tolak sama sekali.

"Kami akan ketengahkan kempen aman, sebab kami insaf bahawa kempen pilihan raya bukan diukur kemenangan daripada pihak mana yang paling lantang tetapi sebenarnya siapa yang paling dipercayai dan diyakini," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH di sini hari ini. 

Saifuddin Nasution berkata tiga mesej utama PH dalam kempen PRN kali ini ialah meraikan pesta demokrasi dengan menghormati perbezaan pandangan; mengetengahkan tawaran dasar dan keupayaan menyelesaikan masalah; serta melancarkan manifesto yang memberi tumpuan kepada peluang pekerjaan, kos sara hidup dan masa depan belia.

Menyentuh mengenai hala tuju kempen, beliau berkata PH tidak akan melayan sebarang spekulasi politik mengenai penjajaran baharu pasca-PRN, sebaliknya memberi tumpuan penuh mendekati pengundi termasuk pengundi luar kawasan.

“Segmen pengundi luar memang masuk dalam senarai semak jentera pilihan raya. Kami ada angka yang tepat bagi setiap DUN yang ditandingi mengenai pemilih di luar kawasan, dan mereka menjadi fokus tumpuan untuk dihubungi bagi memastikan mereka pulang mengundi," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA