MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Kekalahan ketika kali pertama bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebelum ini tidak mematahkan semangat Farzana Hayani Mohd Nasir untuk kembali mencuba nasib pada PRN kali ini.
Calon Pakatan Harapan (PH) berusia 26 tahun yang mesra dengan panggilan Nana itu berkata pengalaman bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai ketika usia 21 tahun banyak mematangkannya, sekali gus memberikan keyakinan untuk menawarkan diri di DUN Kelebang yang turut meliputi tempat kelahirannya, Bukit Rambai.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Tangga Batu itu berkata pengalaman berkenaan turut memberinya banyak pendedahan mengenai cabaran dalam pilihan raya, sekali gus membolehkan beliau membuat persiapan lebih teratur bagi menghadapi saingan kali ini.
"Jadi, saya ambil pengalaman itu dan bawa ke Kelebang. Alhamdulillah, kali ini kita lebih tersusun, perjalanan dan jadual semua tersusun serta jentera juga lengkap," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kelebang di sini hari ini.
Beliau berkata meskipun berdepan saingan empat penjuru serta menjadi calon termuda di kerusi berkenaan, keadaan itu tidak menghalangnya untuk memberikan yang terbaik kepada pengundi di kawasan tersebut.
Farzana Hayani berkata sebagai calon wanita tunggal di DUN itu, beliau akan turut memberi fokus kepada isu berkaitan wanita sepanjang 14 tempoh kempen, khususnya dalam usaha memperkasakan golongan itu secara lebih progresif, selain isu nelayan dan peluang pekerjaan anak muda.
"Saya memahami tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ibu, isteri dan wanita berkerjaya, saya tahu cabaran terutama wanita muda yang terpaksa menjalani hubungan jarak jauh dengan suami untuk bekerja dan mencari rezeki," katanya.
Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Lim Ban Hong menyifatkan statusnya sebagai penyandang kerusi DUN Kelebang bukan alasan untuk berasa selesa, sebaliknya Pengerusi MCA Melaka itu berkata gerak kerja dan khidmat kepada masyarakat tetap diteruskan bagi memastikan penduduk setempat mendapat manfaat.
"Seperti biasa, PRN merupakan medan untuk saya terus berkhidmat dan melakukan yang terbaik kepada rakyat di DUN Kelebang sekali gus dapat memastikan rakyat memberi sekali lagi mandat kepada saya dan BN untuk berkhidmat," katanya.
DUN Kelebang menyaksikan saingan empat penjuru antara Farzana Hayani, Lim serta Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) dan Young Jie Yu dari Parti Bersama Malaysia (Bersama).
SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terikini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/
-- BERNAMA