31/10/2026 01:54 PM

PRN Melaka: Adly Fokus Lengkapkan Kemudahan Pendidikan Digital Di Bukit Katil

PRN Melaka: Adly Fokus Lengkapkan Kemudahan Pendidikan Digital Di Bukit Katil
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Bukit Katil Adly Zahari menjawab pertanyaan media selepas pengumuman calon Pilihan Raya Negeri Melaka di Pusat Penamaan Calon Dewan Tun Ali, MBMB, Bukit Katil. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Melengkapkan kemudahan pendidikan digital menjadi antara fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Adly Zahari, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Adly yang merupakan penyandang kerusi berkenaan berkata usaha itu penting bagi memastikan generasi muda di kawasan itu mendapat manfaat daripada perkembangan teknologi digital, khususnya dalam aspek pendidikan, keselamatan dan pembangunan ekonomi.

“Kalau saya diberikan mandat, memang fokus utama saya adalah untuk lengkapkan pendidikan digital kepada anak-anak kita di DUN Bukit Katil, termasuk kepada usahawan-usahawan kita,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Tun Ali, Bukit Katil di sini hari ini.

Naib Presiden Amanah itu berdepan saingan empat penjuru menentang calon Perikatan Nasional (PN) Ridzuan Sarif, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) Dr Aliza Che Amran dan calon Bebas Abu Bakar Sabudin.

Adly yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata pendidikan digital perlu diberikan keutamaan kerana generasi celik digital mampu memberi manfaat dalam bidang pendidikan, selain menyumbang kepada peningkatan keupayaan ekonomi pada masa kini dan masa depan.

Selain itu, beliau berkata usaha menyiapkan pembinaan poliklinik kesihatan di kawasan berkenaan turut menjadi antara perkara yang perlu diberi perhatian.

“Kita sudah dapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kita sudah mendapatkan bajet,” katanya.

Mengulas persaingan pada PRN Melaka kali ini, Adly menyifatkannya sebagai antara cabaran lebih besar yang dihadapinya, mengambil kira penyertaan calon daripada PN, Bersama dan Bebas.

Bagaimanapun, beliau berkata pengalaman berkhidmat selama lapan tahun di DUN Bukit Katil, termasuk ketika PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, menjadi asas untuk pengundi menilai rekod perkhidmatannya.

“Jadi kita (PH) memang serahkan kepada rakyat untuk menilai segala usaha yang telah kita buat dan kita akan terus memberikan khidmat apa sahaja keputusan rakyat, memang kita hargai.

“.. tetapi memang kita merayu agar rakyat memberikan kita peluang untuk di penggal yang ketiga dan kita yakin bahawa apa yang telah dilaksanakan akan dapat sokongan daripada pengundi di DUN Bukit Katil,” katanya.

Pada PRN Melaka ke-15, Adly memperoleh majoriti 1,057 undi selepas menewaskan tiga calon lain, iaitu Datuk Hasnoor Sdg Husin daripada Barisan Nasional (BN), Muhammad Al Afiz Yahya (PN) dan Abdul Hamid (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA