MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Datuk Azman Abidin menawarkan pengalaman luas serta hubungan baiknya dengan Kerajaan Persekutuan sebagai nilai tambah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk di kawasan itu.
Beliau yang selesai mengemukakan borang pencalonan di pusat penamaan calon di Stadium Hang Jebat di sini berkata kawasan Paya Rumput yang bersifat separa bandar memerlukan pendekatan menyeluruh bagi memenuhi keperluan masyarakat kampung mahupun bandar di situ.
“Apa yang boleh saya tawarkan ialah pengalaman yang saya miliki untuk membantu dan memudahkan urusan serta memenuhi keperluan penduduk Paya Rumput.
“Pengalaman berkhidmat bersama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) serta hubungan dengan Kerajaan Persekutuan juga boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya bagi membantu memenuhi keperluan dan menyelesaikan isu dihadapi penduduk di DUN Paya Rumput,” katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di sini.
Mengenai persaingan kerusi berkenaan, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri itu berkata beliau tidak memandang rendah kemampuan mana-mana pihak lawan, sebaliknya menyifatkan setiap calon yang bertanding mempunyai kekuatan tersendiri.
Justeru, fokus utamanya sepanjang tempoh berkempen adalah untuk mendekati seramai mungkin pengundi dan menerangkan tawaran perkhidmatan serta kebajikan yang mampu dibawanya.
Azman, 54, yang merupakan lulusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (PMBA) daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada 2023 turut menzahirkan keyakinan terhadap keterbukaan penduduk Paya Rumput untuk menerima perubahan.
Berbekalkan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan serta pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada dua pemimpin kerajaan, Azman kini menggalas cabaran PH untuk merampas kerusi DUN Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.
-- BERNAMA