31/10/2026 01:22 PM

PRN Melaka: Calon PH Duyong Pilih Sentuhan Peribadi Di Sebalik Pengaruh Media Sosial

PRN Melaka: Calon PH Duyong Pilih Sentuhan Peribadi Di Sebalik Pengaruh Media Sosial
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N21 Duyong, Poo Long Suan bersama para penyokong di pusat penamaan calon, Kompleks Japerun Duyong sempena Pilihan Raya Negeri Melaka. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Dalam era media sosial yang semakin mencorakkan landskap politik, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan negeri (DUN) Duyong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 Poo Long Suan, memilih mendekati rakyat secara bersemuka berbanding mengejar populariti di alam maya.

Beliau berkata secanggih manapun teknologi, interaksi secara bersemuka dengan masyarakat tetap mempunyai nilai tersendiri terutama dalam memahami keperluan dan permasalahan yang dihadapi mereka.

Tidak menafikan kepentingan populariti di media sosial, Poo yang berdepan pertandingan satu lawan satu dengan penyandang kerusi itu Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem, bagaimanapun berpandangan tanggungjawab utama seorang wakil rakyat ialah turun padang dan memberikan perkhidmatan kepada masyarakat.

"Bagi saya, sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sebenarnya jawatan utama ialah berkhidmat.

“Zaman sekarang memang kena ada populariti di sana (media sosial). Pun begitu bagi saya, yang lebih penting ialah kita kena turun padang untuk berjumpa dengan rakyat," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Kompleks Japerun Duyong di sini hari ini.

Calon berusia 43 tahun itu berkata pengalaman dan pengetahuan yang ditimba sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya sebelum ini akan dimanfaatkan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Duyong.

Poo yang juga Ahli Jawatankuasa Aduan DAP Melaka mengakui usaha meningkatkan kesejahteraan penduduk bukan sesuatu yang dapat dicapai dalam sekelip mata, terutama apabila masih terdapat beberapa aspek pembangunan setempat yang memerlukan perhatian.

Beliau berkata antara perkara yang mahu diberi tumpuan ialah kemudahan infrastruktur, pembangunan ekonomi dan pengurusan trafik yang menurutnya masih boleh dipertingkatkan bagi menjamin keselesaan masyarakat.

"Apa yang sudah dilakukan oleh wakil rakyat sebelum ini memang sudah cukup bagus namun infrastruktur di sini masih ada ruang untuk diperbaiki lagi. Saya bersedia untuk menyediakan satu keadaan infrastruktur, keadaan ekonomi, keadaan trafik di Duyong kepada yang lebih bagus," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA