MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Cabaran besar bertanding sebagai calon “underdog” di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara disandang Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh tidak mematahkan semangat calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Yunazri Mustamiri untuk mencipta kejutan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pada 14 Nov ini.
Setiausaha Penaja Parti Keadilan Rakyat (PKR) Masjid Tanah itu berkata beliau optimis untuk berusaha sehabis baik, termasuk menggembleng seluruh jentera parti bagi menawan kawasan Tanjung Bidara yang disifatkan ramai sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN).
“Di atas kertas (peluang) kita nampak macam agak sukar tetapi bukan sesuatu yang mustahil bagi kami. Saingan masih seimbang. Apa yang perlu dibuat cuma berusaha bersungguh-sungguh dalam pilihan raya kali ini dan meraikan demokrasi untuk DUN Tanjung Bidara.
“Alhamdulillah untuk persiapan, jentera kekal teguh bersama saya. Insya-Allah kita tidak gentar untuk berjuang, malah sokongan daripada Presiden PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim), harapan dan pimpinan parti, semangat kami bertambah kuat untuk berkempen di Tanjung Bidara,” katanya.
Yunazri yang membuat penampilan sulung di pentas pilihan raya ditemui pemberita selepas diumumkan sebagai calon PH bagi kawasan DUN Tanjung Bidara, di pusat penamaan calon Dewan Datuk Kapt (B) Hj Ab Karim Kompleks Japerun Tanjung Bidara di Alor Gajah di sini hari ini.
Jurutera Pembuatan Automotif berusia 36 tahun itu akan menentang calon BN, Ab Rauf yang merupakan penyandang kerusi berkenaan selepas menang pada PRN Melaka ke-15 dalam pertarungan tiga penjuru dengan majoriti 364 undi.
Ditanya mengenai tawarannya kepada pengundi di Tanjung Bidara, Yunazri berkata beliau tidak menolak kemungkinan status sebagai calon muda akan memberi sedikit kelebihan kepadanya.
“Berdasarkan keputusan pilihan raya lepas, kebanyakan calon muda menyokong (PH)... tidak sokong parti sekarang (BN). Jadi potensi untuk menang itu saya rasa ada, insya-Allah,” katanya.
Yunazri berkata sekiranya diberi mandat oleh pengundi di DUN Tanjung Bidara, fokus utamanya ialah pembangunan anak muda selain membawa dasar-dasar yang telah memberi manfaat kepada rakyat di peringkat pusat, ke DUN berkenaan.
“Kita juga akan perkasakan inisiatif dan program dalam ruang lingkup Kampung Digital selain akan memastikan anak-anak tempatan diberikan peluang hingga 30 peratus untuk terlibat di dalam projek-projek pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Bagi mendapatkan berita terikini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/
-- BERNAMA