MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) menzahirkan sokongan terhadap pemeteraian Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) antara kerajaan dengan Parti Bersatu serta Ahli Parlimen Bebas.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata gabungan itu juga mencadangkan supaya perjanjian berkenaan diperluas kepada parti lain termasuk daripada blok kerajaan serta pembangkang.
“Ia merupakan satu perkembangan baik terutamanya dalam skop melibatkan kepentingan untuk menyantuni dan menangani permasalahan rakyat.
“Langkah baik ini juga pernah dilakukan oleh kerajaan ketika wakil daripada UMNO menjadi Perdana Menteri,” kata Timbalan Perdana Menteri itu ketika ditanya mengenai CSA yang dimeterai pada Rabu lepas.
Terdahulu, Ahmad Zahid mengiringi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh ke pusat penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara di Dewan Datuk Kapt (B) Hj Ab Karim Kompleks Japerun Tanjung Bidara di Alor Gajah di sini hari ini.
Pada Khamis, Kerajaan MADANI menandatangani CSA dengan enam Ahli Parlimen Bersatu diketuai Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tujuh yang lain termasuk Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata pemeteraian perjanjian itu bertujuan memastikan kelangsungan urusan pentadbiran kerajaan selain memberikan ruang kepada agenda pembangunan negara termasuk Belanjawan 2027 dilaksanakan secara berkesan demi kepentingan rakyat.
-- BERNAMA