31/10/2026 12:24 PM

PRN Melaka: Saingan Tiga Penjuru Di Machap Jaya, Libat Dua Bekas Pemenang

PRN Melaka: Saingan Tiga Penjuru Di Machap Jaya, Libat Dua Bekas Pemenang
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N08 Machap Jaya menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Ginie Lim Siew Lin (tengah), calon Barisan Nasional (BN) Datuk Ngwe Hee Sem (kiri) dan calon Parti Bersama (BERSAMA) Prasanth Kumar Brakasam pada Pilihan Raya Negeri Melaka ke-16 di pusat penamaan calon Kompleks JAPERUN Machap Jaya hari ini.

ALOR GAJAH, 31 Okt (Bernama) -- Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 yang akan berlangsung 14 Nov ini.

Kerusi panas itu bakal menyaksikan persaingan sengit antara dua pemimpin yang pernah memegang jawatan Exco kerajaan negeri, apabila penyandang Datuk Ngwe Hee Sem (BN), bakal dicabar oleh seorang lagi bekas penyandang Datuk Ginie Lim Siew Lin (PH) serta B. Prasanth Kumar (Bersama).

Senarai calon berkenaan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Machap Jaya, Muhammad Hamka Dollah di Pusat Penamaan Calon (PPC) Kompleks Japerun Machap Jaya di Bukit Bulat di sini selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi tadi.

“Setelah selesai disemak, saya telah memutuskan supaya tiada calon yang ditolak kertas penamaannya,” katanya. 

Terdahulu, Lim menyerahkan borang pencalonannya pada 9.05 pagi, diikuti Prasanth Kumar pada 9.13 pagi dan Ngwe pada 9.19 pagi.

Kehadiran Lim mencuri tumpuan apabila diiringi tiga pemimpin parti berstatus menteri, termasuk Naib Presiden PKR yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang juga Ketua Setiausaha PH dan Menteri Dalam Negeri.

Turut hadir, Naib Presiden PKR Datuk Seri R. Ramanan merangkap Menteri Sumber Manusia, Ketua Wanita PKR Datuk Seri Fadhlina Sidek merangkap Menteri Pendidikan serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Dr Maszlee Malik.

Ngwe diiringi Setiausaha Agung MCA Datuk Chong Sin Woon.

Lim pernah memenangi kerusi Machap Jaya pada 2018 dengan majoriti 1,336 undi dalam pertandingan tiga penjuru menentang Koh Nai Kwong (BN) dan Wan Zahidi Wan Ismail (PAS).

Pada PRN Melaka 2021 pula, Ngwe memenangi kerusi berkenaan apabila memperoleh 3,732 undi menewaskan calon PH, Law Bing Haw dengan majoriti 938 undi dalam pertandingan lima penjuru, manakala Lim tidak bertanding ketika itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka dan pengundian awal pada 10 Nov.

Bagi mendapatkan berita terikini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/

-- BERNAMA