31/10/2026 11:45 AM

PRN Melaka: Azman Abidin Berdepan Saingan Tiga Penjuru Di Paya Rumput

PRN Melaka: Azman Abidin Berdepan Saingan Tiga Penjuru Di Paya Rumput
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput Datuk Azman Abidin (tengah) bakal menentang calon Perikatan Nasional (PN) Rafie Ahmad (kanan) dan Abdul Rashid Abu Bakar dari Parti Bersama Malaysia (Bersama) di pusat penamaan calon, Stadium Hang Jebat sempena Pilihan Raya Negeri Melaka. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin bakal berdepan saingan tiga penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Azman yang mewakili Pakatan Harapan (PH), akan dicabar Rafie Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN) dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).

Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Paya Rumput Safuan Effendy Mat Ghani mengumumkan senarai calon berkenaan di Pusat Penamaan calon DUN Paya Rumput di Ballroom Stadium Hang Jebat di sini, selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi ini.

Penyertaan Azman sebagai calon PH bagi DUN Paya Rumput pada PRN Melaka kali ini merupakan penampilan sulung beliau dalam pilihan raya.

Terdahulu, Azman menjadi calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada 9.01 pagi, disusuli Rafie pada 9.05 pagi dan seterusnya Abdul Rashid Abu Bakar pada 9.07 pagi.

Kerusi DUN Paya Rumput sebelum ini disandang Datuk Rais Yasin daripada Barisan Nasional namun beliau tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini selepas dipilih bertanding di DUN Sungai Udang.

DUN Bandar Hilir turut menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan calon PH yang juga penyandang kerusi itu Leng Chau Yen, calon Barisan Nasional (BN) Jasmine Lok dan Dr Rashidi Jalil (Bersama).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Mohamad Salzeli Moktar di Dewan Seri Temu, Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Temu di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Sebanyak 687,697 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera bersama pasangan dan 2,762 anggota polis.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA