31/10/2026 11:26 AM

PRN Melaka: Adly Hadapi Saingan Empat Penjuru Pertahan DUN Bukit Katil

PRN Melaka: Adly Hadapi Saingan Empat Penjuru Pertahan DUN Bukit Katil
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Bukit Katil Adly Zahari hadir untuk menyerahkan borang pencalonan sempena Pilihan Raya Negeri Melaka di Pusat Penamaan Calon Dewan Tun Ali, MBMB, Bukit Katil. -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

MELAKA, 31 Okt (Bernama) -- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka Adly Zahari berhadapan pertandingan empat penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN berkenaan dicabar calon Perikatan Nasional (PN) Ridzuan Sarif, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama) Dr Aliza Che Amran dan calon Bebas Abu Bakar Sabudin.

Keempat-empat calon berkenaan diumumkan layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Shaifulfazlee Mohamad selepas proses penamaan calon di Dewan Tun Ali, di sini hari ini ditutup pada 10 pagi.

Pada PRN Melaka ke-15, Adly memperoleh majoriti 1,057 undi selepas menewaskan tiga calon lain, iaitu Datuk Hasnoor Sdg Husin daripada Barisan Nasional (BN), Muhammad Al Afiz Yahya (PN) dan Abdul Hamid (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.

Bagi mendapatkan berita terkini PRN Melaka ke-16, layari https://election.bernama.com/prn/melaka/2026/.

-- BERNAMA