SHAH ALAM, 31 Okt (Bernama) -- Ketetapan berhubung Perjanjian Kepercayaan dan Sokongan (CSA) antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dijangka diumumkan dalam masa terdekat selepas semua perincian rundingan dimuktamadkan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata rundingan dengan Bersatu sedang berjalan dan asas persefahaman telah dicapai, namun beberapa perkara sensitif masih perlu diperhalusi.
Beliau berkata kerjasama yang telah diwujudkan pada peringkat Persekutuan turut memudahkan usaha melaksanakan pendekatan sama di Selangor bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri.
"Memang ada rundingan dengan Bersatu dan sekiranya menjadi, mereka akan memberikan sokongan secara en bloc, tetapi kekal sebagai pembangkang. Asas dasar sudah ada, cuma mungkin terdapat beberapa perincian yang sedikit sensitif dan perlu diambil kira," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Sanjungan Budi bersempena dengan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 dan Para SUKMA 2026 di Dewan Raja Muda Musa, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata beliau bersedia untuk memuktamadkan persefahaman itu sebaik sahaja semua perkara berkaitan diselesaikan bersama pimpinan parti.
"Tunggu sebentar, ia sudah ada pada peringkat Persekutuan dan makin mudah untuk kita laksanakan di peringkat Selangor. Memang itu caranya untuk memastikan ada kerjasama ataupun persefahaman. Jadi, bila-bila masa sahaja saya bersedia untuk ini," katanya.
Cadangan pelaksanaan CSA di Selangor sebelum ini dikemukakan bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri, termasuk urusan berkaitan belanjawan, menerusi kerjasama rentas parti.
-- BERNAMA