30/10/2026 06:10 PM

Persidangan LIFA Kembali Ke Malaysia Selepas 19 Tahun, Himpun 250 Ulama Di Putrajaya

Persidangan LIFA Kembali Ke Malaysia Selepas 19 Tahun, Himpun 250 Ulama Di Putrajaya
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee menerangkan tujuh teras perbahasan fiqh kontemporari pada Sesi Taklimat Khas Mengenai Penganjuran International Islamic Fiqh Academy (IIFA) Kali Ke-27 di Kompleks Islam Putrajaya. --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Selepas 19 tahun, Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan sebagai tuan rumah Persidangan International Islamic Fiqh Academy (IIFA) ke-27 yang akan menghimpunkan kira-kira 250 ulama tersohor negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dari 30 Nov hingga 3 Dis.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata persidangan yang berlangsung di sebuah hotel di sini menjadi platform perbincangan ilmiah mengenai pelbagai isu kontemporari umat Islam.

Beliau berkata kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah persidangan itu ialah pada 2007, sekali gus menjadikan penganjuran kali ini sebagai peluang untuk negara memainkan peranan lebih besar dalam wacana fiqh Islam pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata sebanyak 139 kertas kerja akan dibincangkan menerusi tujuh sesi saintifik merangkumi tujuh bidang perbahasan sebelum dapatan dan pandangan pakar dirumuskan untuk menghasilkan resolusi bersama.

“Konsep yang dilaksanakan oleh pihak IIFA ialah pembahagian mengikut kelompok bidang, iaitu setiap bidang akan membentangkan perbincangan masing-masing terlebih dahulu sebelum hasil resolusi dan rumusan kepakaran itu dibentangkan dalam persidangan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sirajuddin berkata antara perkara yang akan diberi perhatian ialah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dari perspektif syariah, perkembangan teknologi perubatan, isu kekeluargaan serta fiqh kehidupan bersama atau Fiqh Ta’ayush yang menekankan keharmonian masyarakat berbilang agama, bangsa dan etnik.

Beliau berkata pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah turut mencerminkan keyakinan IIFA terhadap keupayaan negara menjadi contoh keharmonian masyarakat majmuk.

“Malaysia mempunyai pelbagai bangsa dan agama, namun masyarakatnya dapat hidup harmoni. Ini antara contoh yang ingin diketengahkan kepada masyarakat dunia agar dapat hidup aman sejahtera di bawah satu payung yang sama,” katanya.

Sirajuddin berkata hasil perbincangan serta resolusi persidangan itu akan dibincangkan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) sebelum dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk memperoleh perkenan.

Beliau berkata antara tokoh antarabangsa yang dijangka hadir ialah Pengerusi IIFA yang juga Imam Masjidil Haram Sheikh Dr Saleh Abdullah Humaid dan Setiausaha Agung IIFA Profesor Datuk Dr Koutoub Moustapha Sano.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dijadualkan hadir pada majlis kemuncak serta bacaan Resolusi Putrajaya pada 3 Dis.

Mufti negeri serta tokoh akademik dan bekas mufti akan turut mewakili negara dalam persidangan itu.

-- BERNAMA