IPOH, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mahu pendekatan Work Based Learning (WBL) terus diperkasakan bagi membina ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), yang sentiasa responsif dan berpandangan ke hadapan.
Ketua Setiausaha KPT Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata pembangunan kurikulum, pengajaran dan penilaian kompetensi mestilah sentiasa mengambil kira perubahan teknologi serta permintaan pasaran kerja.
Beliau berkata kejayaan WBL tidak seharusnya diukur berdasarkan kadar kebolehpasaran graduan semata-matam kerana matlamat utama KPT membangunkan bakat teknikal dan profesional bernilai tinggi yang mampu memacu inovasi serta pertumbuhan ekonomi negara.
“Atas pertimbangan tersebut, penubuhan Pusat Kecemerlangan WBL Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC), menjadi langkah penting untuk memperkukuh keupayaan sistem PolyCC. Ia memastikan pelaksanaan pembelajaran berasaskan kerja dapat dijalankan secara lebih terancang, tersusun dan berkesan.
“Saya berharap pusat ini dapat berperanan sebagai pemangkin kepada peningkatan kualiti, perkongsian kepakaran serta penyebaran amalan terbaik WBL. Pusat ini juga perlu memastikan pendekatan WBL berkembang secara konsisten, berasaskan bukti dan berorientasikan keberhasilan,” katanya berucap bersempena dengan lawatan kerja ke Politeknik Ungku Omar dan perasmian Pusat Kecemerlangan WBL PolyCC PUO, di sini hari ini.
WBL merupakan satu pendekatan pendidikan berstruktur, dengan pelajar belajar dan menimba ilmu terus di persekitaran tempat kerja sebenar (industri) dan bukannya sekadar mendengar teori di dalam bilik kuliah.
Aminuddin berkata bagi merealisasikan hasrat tersebut, tiga keutamaan perlu diberi penekanan iaitu pelaksanaan berasaskan standard berkualiti, pemerkasaan kompetensi pensyarah serta mentor dan pemantauan berasaskan data.
Beliau berkata setiap keutamaan itu perlu diterjemahkan kepada tindakan yang jelas berserta petunjuk prestasi yang boleh dinilai.
“Kita tidak mahu kejayaan sesuatu inisiatif hanya diukur melalui aktiviti yang dilaksanakan semata-mata, sebaliknya kejayaan sebenar mestilah dinilai menerusi perubahan positif serta impak nyata yang terhasil.
“Pusat ini juga perlu memanfaatkan teknologi digital dan pendekatan berasaskan data untuk menyokong pengurusan pembelajaran serta dokumentasi kompetensi. Pendekatan moden ini membolehkan keputusan penambahbaikan dibuat secara tepat dan keberkesanan pelaksanaan WBL dapat dinilai dengan menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata agenda memperkasakan WBL bukanlah tanggungjawab institusi pendidikan semata-mata dan ia memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, institusi pendidikan dan pihak industri merupakan prasyarat utama untuk memastikan impak yang berterusan.
Beliau berkata pihak industri perlu bertindak sebagai rakan strategik utama, dalam merancang pengalaman pembelajaran dan membangunkan bakat secara bersama.
Aminuddin berkata pendekatan itu, membolehkan hubungan institusi dan industri berkembang daripada kerjasama biasa kepada penciptaan nilai bersama. Saya menyeru agar kerjasama yang terjalin diperkukuh menerusi komitmen berterusan dan manfaat yang dikongsi bersama.
“Gabungan asas ilmu institusi dan kepakaran praktikal industri akan melahirkan graduan teknikal yang berdisiplin, adaptif dan berintegriti.
“Saya percaya bahawa Pusat Kecemerlangan WBL PolyCC berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat yang lebih tersusun dan berimpak tinggi. Pusat ini akan membantu memperjelas penyelarasan keperluan industri serta meningkatkan kualiti graduan di seluruh rangkaian PolyCC,” katanya.
-- BERNAMA