KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini memeterai Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) dengan Kerajaan MADANI melibatkan komitmen menyokong kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027).
Perjanjian itu ditandatangani oleh Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dua Naib Presiden, iaitu Datuk Dr Radzi Jidin serta Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan empat Ahli Parlimen parti tersebut.
Mereka ialah Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Ali Biju (Saratok), Mohd Nazri Abu Hassan (Merbok) dan Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai).
Yang turut menandatangani perjanjian itu Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA) dan enam Ahli Parlimen bebas iaitu Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Majlis pemeteraian di Bangunan Parlimen itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said serta Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mewakili kerajaan.
Selain berkaitan belanjawan, CSA itu antara lain menetapkan sokongan Ahli Parlimen tersebut terhadap perkara penting yang ingin dibentangkan kerajaan termasuk reformasi institusi berkaitan cadangan menentukan terma Perdana Menteri kepada maksimum dua penggal serta pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Ditemui media selepas pemeteraian MoU itu, Muhyiddin berkata pemeteraian CSA tersebut mengambil format kerjasama dibuat kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Tujuannya tidak lain tidak bukan untuk mewujudkan situasi negara yang lebih stabil, menguruskan urusan penting bagi rakyat, terutamanya dalam soal ekonomi, kos sara hidup dan sebagainya.
“Dengan adanya perjanjian ini, kestabilan itu dapat membantu dari segi kerajaan menguruskan negara dengan lebih teratur,” katanya.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan pemeteraian itu tidak bermakna Bersatu menyertai kerajaan, sebaliknya parti itu akan kekal sebagai pembangkang untuk meneruskan tanggungjawab semak dan imbang.
-- BERNAMA