29/10/2026 02:50 PM

PRN Melaka: PKR Tambah Kerusi Ayer Limau, Bertanding Di 10 DUN - Fuziah

PRN Melaka: PKR Tambah Kerusi Ayer Limau, Bertanding Di 10 DUN - Fuziah
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali (kanan) melihat cili merah ketika hadir pada Majlis Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2026 di ST Rosyam Mart hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh (kiri), Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam (dua, kanan). -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Parti Keadilan Rakyat (PKR) menambah satu lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, menjadikan keseluruhan 10 kerusi berbanding sembilan yang diumumkan sebelum ini.

Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata kerusi itu ialah DUN Ayer Limau dengan Mej (B) Jaimi Dimon akan mewakili parti itu pada pilihan raya negeri tersebut.

Beliau berkata penambahan itu menjadikan jumlah kerusi akan ditandingi Pakatan Harapan (PH) sebanyak 22 kerusi setakat ini, tertakluk kepada sebarang perubahan melibatkan parti lain.

“Semalam kita telah menyerahkan watikah dan kita menambah lagi satu kerusi bertanding. Semasa pengumuman calon, (kita umum) sembilan kerusi tetapi hari ini kita menambah satu lagi dan ada 10 kerusi akan ditandingi oleh PKR.

“Sekarang ini 22 (calon PH) melainkan kalau parti lain juga ada tambahan. Sebab hari itu kita tak habiskan, tetapi kerana PKR merasakan kita boleh menambah satu lagi kerusi, kita menjadikan 10 kerusi,” katanya.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian  selepas menghadiri Sidang Media Khas Pengumuman Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2026 di sini hari ini.

Pengumuman berkaitan pelaksanaan skim harga itu dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Mengenai persiapan menghadapi PRN Melaka, Fuziah berkata beliau telah melawat semua bilik gerakan utama PKR di DUN ditandingi parti itu.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan persiapan mereka dari segi jentera, pusat daerah mengundi, bilik gerakan, data, logistik dan mereka bersedia untuk hari penamaan calon pada Sabtu ini,” katanya.

DUN Melaka dibubarkan pada 23 Sept dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal 10 Nov.

Sebanyak 687,697 pemilih layak mengundi pada pilihan raya negeri itu.

-- BERNAMA