IPOH, 29 Okt (Bernama) -- Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Peringkat Negeri Perak 2026 di Pusat Konvensyen Casuarina, di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda diiringi Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Harith Fadzillah Abdul Halim.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan 43 anugerah kecemerlangan membabitkan 124 penerima termasuk dua penerima anugerah utama iaitu Anugerah Khas Pendidik 2026.
Anugerah Khas Pendidik itu disampaikan kepada Tokoh Imam Mithali Peringkat Kebangsaan 2026 Agus Lokman Sulam dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Konvensyen Antarabangsa Pendidikan Kontemporari ICCE23 Peringkat Antarabangsa Mohd Zulkhairi Mohd Nor.
Selain itu, Sultan Nazrin juga berkenan menyampaikan anugerah sekolah pendidikan Islam terbaik bagi 2026.
Pada majlis sama turut dilancarkan Manual Urus Keselamatan Makanan dan Halal Institusi Pendidikan Islam (MUKMIN) Perak, iaitu panduan menyelaraskan penyediaan makanan di semua institusi pendidikan Islam di negeri ini bagi menjamin keselamatan makanan dan dipastikan halal.
-- BERNAMA