28/10/2026 09:22 PM

PRN Melaka: Dapatkan Permit Untuk Pasang Bahan Kempen - MBMB

PRN Melaka: Dapatkan Permit Untuk Pasang Bahan Kempen - MBMB
-- Gambar hiasan

MELAKA, 28 Okt (Bernama) -- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengingatkan parti politik supaya mendapatkan permit sebelum memasang bahan kempen bersempena dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman berkata parti politik juga perlu membuat bayaran deposit iaitu RM5,000 untuk bahan kempen, permit iklan (RM2,000) dan caj pemprosesan (RM50).

Beliau berkata caj dikenakan supaya semua parti politik mematuhi syarat serta peraturan pemasangan bendera, iklan atau bahan kempen yang ditetapkan MBMB dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Antara syaratnya ialah tidak memasang sebarang bahan kempen di persimpangan jalan supaya tidak menghalang pandangan pemandu dan mengancam keselamatan pengguna jalan raya.

"Bendera parti politik pula dibenarkan dipasang di tempat-tempat yang sesuai kecuali kawasan larangan seperti premis kerajaan serta aset hak milik kerajaan antaranya balai raya, lampu isyarat dan papan tanda," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Media dan Komuniti MBMB 2026 yang turut dihadiri Setiausaha MBMB Muhammad Firdaus Shariff.

Shadan berkata pemasangan bendera atau bahan kempen yang melanggar syarat ditetapkan akan diturunkan oleh anggota penguatkuasa MBMB serta pihak terlibat boleh dikenakan kompaun.

Beliau turut mengingatkan semua parti politik terlibat dengan pilihan raya negeri itu supaya menurunkan bahan kempen dalam tempoh 14 hari selepas hari mengundi.

SPR menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.

-- BERNAMA