28/10/2026 07:58 PM

Penggunaan TuJu Langkah Tepat, Perlu Audit Keselamatan Dan Privasi Bebas Secara Berkala - Pakar

Penggunaan TuJu Langkah Tepat, Perlu Audit Keselamatan Dan Privasi Bebas Secara Berkala - Pakar

Oleh Shaidathul Suhana Ros

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Penggunaan TuJu bagi keperluan nagivasi jalan raya adalah langkah tepat dari sudut keselamatan negara namun aplikasi tempatan itu perlu menjalani audit keselamatan dan privasi bebas secara berkala bagi membina keyakinan rakyat sebelum beralih kepada penggunaannya.

Pengarah Pusat Penyelidikan Keselamatan Siber (CYRES) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Selvakumar Manickam berkata audit itu perlu menilai jenis data yang dikumpulkan, kaedah penyimpanan dan penghantarannya, penggunaan perkhidmatan pihak ketiga, kawalan akses serta tempoh penyimpanan data.

Beliau berkata penilaian juga perlu merangkumi keselamatan infrastruktur, ujian penembusan, semakan kod atau komponen berkaitan serta risiko kebocoran dan penyalahgunaan data lokasi.

“Audit ini mesti dilakukan secara berkala dan bukannya sekali sahaja (one-off), kerana ancaman siber sentiasa berkembang. Internet tidak mengenal sempadan.

“Walaupun TuJu dapat memastikan tiada pengawasan dilakukan, namun pelaksanaan keselamatan dan privasi yang lemah tetap membuka ruang kepada penggodam dan penjenayah dari seluruh dunia untuk menyerang, menembusi dan mendedahkan data rakyat Malaysia kepada rangkaian jenayah siber,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Selvakumar berkata aplikasi tempatan boleh memberikan Malaysia lebih banyak kawalan terhadap pembangunan, tadbir urus dan pengurusan data, namun keselamatannya bergantung pada reka bentuk serta pelaksanaan sistem dan tiada perkhidmatan boleh dijamin 100 peratus selamat.

Beliau turut menegaskan risiko sesuatu aplikasi perlu dinilai berdasarkan bukti teknikal, cara data dikendalikan, pihak yang boleh mengaksesnya serta bukti bahawa data boleh atau telah disalahgunakan.

“Data lokasi yang dikumpulkan dalam tempoh panjang boleh mendedahkan rutin harian, alamat rumah, tempat kerja dan waktu rumah kosong, lalu disalahgunakan untuk menghendap, memeras ugut atau menghasilkan penipuan lebih meyakinkan apabila digabungkan dengan maklumat peribadi lain menggunakan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berpendapat mengehadkan akses lokasi dapat mengurangkan pendedahan tetapi tidak menghapuskan semua risiko privasi, manakala beralih daripada satu aplikasi sahaja tidak menyelesaikan keseluruhan isu pengumpulan data melalui perkhidmatan digital lain yang digunakan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil mencadangkan agensi kerajaan, kementerian, badan penguatkuasaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mendahului penggunaan aplikasi navigasi tempatan bagi kenderaan rasmi.

Siraj yang juga ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata langkah itu dapat membekalkan data pergerakan awal yang diperlukan untuk menambah baik sistem navigasi tempatan.

Beliau berkata gabungan data pergerakan anggota keselamatan, pegawai kerajaan dan kenderaan agensi awam berpotensi mendedahkan laluan strategik serta kelemahan infrastruktur negara sekiranya disalahgunakan pihak luar.

“Sokongan rakyat terhadap teknologi tempatan bukan sekadar soal memilih aplikasi alternatif, sebaliknya satu manifestasi patriotisme digital dan solidariti bersama-sama dalam membina ekosistem siber negara yang mandiri,” katanya.

Siraj berkata rakyat perlu menyokong pembangunan aplikasi tempatan melalui penggunaan dan maklum balas berterusan, manakala sokongan kerajaan perlu diperluas kepada inovasi anak tempatan bagi membina ekosistem teknologi yang lebih berdaya saing.

Bagi meyakinkan pengguna, beliau mencadangkan ciri tempatan seperti amaran banjir kilat masa nyata, maklumat kemudahan kawasan Rehat dan Rawat (R&R), pemakluman kerja jalan dan maklumat tol, selain menekankan ketepatan anggaran masa ketibaan (ETA) serta kestabilan pelayan.

Siraj berkata perlindungan privasi perlu diterapkan sejak peringkat reka bentuk aplikasi dengan pengumpulan data dihadkan kepada keperluan fungsi navigasi, disokong ujian keselamatan berkala serta pensijilan keselamatan yang berkaitan.

Beliau turut menggesa pembangun menyatakan komitmen jelas dalam polisi privasi bahawa data disimpan sepenuhnya di pusat data tempatan, tertakluk kepada undang-undang Malaysia serta tidak dijual atau dikongsi dengan pihak ketiga dan rangkaian pengiklan antarabangsa.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggalakkan orang ramai untuk menggunakan TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai alternatif bagi keperluan navigasi jalan raya.

Perdana Menteri berkata langkah alternatif itu dicadangkan berikutan risiko keselamatan maklumat dan data pergerakan rakyat susulan penggunaan aplikasi Waze yang terikat di bawah undang-undang Kerajaan Israel.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini menerusi surat bertarikh 20 Okt memaklumkan, larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan anggota perkhidmatan awam berkuat kuasa serta-merta.

Langkah itu susulan keputusan Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara (JKSN) Bilangan 3 Tahun 2026 yang bersidang dan dipengerusikan Perdana Menteri, semalam.

Shamsul Azri berkata semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan hendaklah memastikan keputusan itu dimaklumkan kepada semua pegawai di bawah seliaan masing-masing, termasuk agensi dan jabatan berkaitan untuk dilaksanakan serta-merta.

-- BERNAMA