KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengadakan pertemuan dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di bangunan Parlimen hari ini, dipercayai bagi membincangkan isu pengagihan kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketiga-tiga pemimpin itu dilihat memasuki Blok Ahli Parlimen kira-kira 12.20 tengah hari tadi, ketika timbul pertikaian berhubung pengumuman calon BN bagi menghadapi pilihan raya berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook memuat naik gambar bersama kedua-dua pemimpin berkenaan dengan kapsyen ringkas yang memberi bayangan positif mengenai pertemuan berkenaan.
“Don't worry (jangan bimbang). All is well (semuanya baik-baik sahaja). Kita Geng Biru,” tulisnya ringkas menerusi hantaran itu.
Bagaimanapun, setakat ini belum ada pengesahan rasmi mengenai perkara yang dibincangkan atau sebarang keputusan yang dicapai dalam pertemuan tersebut.
Difahamkan kepimpinan MCA turut dijadualkan mengadakan mesyuarat, susulan pertemuan itu di Wisma MCA, petang ini.
Sebelum ini, pada majlis pengumuman calon BN bagi PRN Melaka di Ayer Keroh, Melaka pada 24 Okt lepas, Wee mempertikaikan acara itu yang didakwanya dibuat tanpa persetujuan MCA, malah menegaskan MCA tidak mengiktiraf pengumuman berkenaan kerana parti itu tidak memberikan persetujuan terhadap senarai calon yang diumumkan.
-- BERNAMA