KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Penyertaan calon muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 dilihat mampu membawa idea segar dan pendekatan lebih dinamik dalam usaha mendekati rakyat.
Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh berkata barisan calon muda yang diketengahkan parti itu bukan sahaja menawarkan perspektif baharu, malah mempunyai kredibiliti dan keupayaan untuk membawa perubahan serta berkhidmat demi kepentingan rakyat.
Beliau berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan bahawa peluang PKR dan Pakatan Harapan (PH) pada PRN itu tipis seperti diramalkan sesetengah penganalisis politik.
“Saya percaya perkembangan politik semasa tidak boleh dilihat secara terpilih. Rakyat bukan sahaja menilai parti yang bertanding, tetapi turut menilai prestasi, kestabilan dan kemampuan mereka yang mahu diberikan mandat untuk mentadbir.
“Kita sedar cabarannya besar dan tidak pernah menganggap kemenangan itu mudah. Tetapi jangan terlalu cepat menolak kemampuan KEADILAN dan Pakatan Harapan untuk mencabar kedudukan sedia ada,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fuziah berkata beliau turut meninjau sendiri persiapan jentera parti selepas mengunjungi kesemua sembilan Bilik Gerakan Utama di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi PKR.
Beliau berkata jentera parti bekerja keras dan berdisiplin bagi memastikan setiap kawasan diberikan perhatian sewajarnya.
Sabtu lepas, Perdana Menteri merangkap Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan gabungan itu akan bertanding di 21 kerusi pada PRN Melaka, dengan PKR meletakkan calon di sembilan kawasan.
Sembilan calon berkenaan ialah Mohd Yunazri Mustamiri (Tanjung Bidara), Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan (Rembia), P Denesh (Asahan), Datuk Azman Abidin (Paya Rumput), Muhammad Hakimin Mokhtar (Ayer Molek), Esma Eazreen Husin (Rim), Muhammad Faiq Azman (Serkam), Farzana Hayani Mohd Nasir (Kelebang) dan Datuk Ginie Lim Siew Lin (Machap Jaya).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala penamaan calon pada 31 Okt dan pengundian awal pada 10 Nov.
-- BERNAMA