ALOR SETAR, 26 Okt (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengisytiharkan kawasan terlibat kes jangkitan rabies di Kubang Pasu kini bebas daripada wabak itu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron berkata hasil analisis terhadap 169 sampel anjing dan enam sampel kucing didapati kesemuanya negatif terhadap rabies.
“Berdasarkan keputusan itu, kita yakin tiada bukti penularan rabies dalam kalangan haiwan yang diperiksa," katanya selepas Majlis Penyerahan Siap Projek Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di Kampung Seberang Alor di sini hari ini.
Beliau berkata pemantauan dalam radius 10 kilometer dari tempat kejadian di Changlun, mendapati terdapat kira-kira 503 haiwan berisiko termasuk anjing liar, kucing liar dan anjing bertuan.
Dr Mohd Noor Hisham berkata anjing yang dipercayai menggigit mangsa pula telah dimusnahkan penduduk setempat, namun sampel bangkainya tidak dapat memberikan keputusan meyakinkan kerana haiwan itu telah lama mati dan mengalami pereputan.
-- LAGI
VETERINAR-RABIES 2 (AKHIR) ALOR SETAR
Beliau berkata bilik gerakan yang mula beroperasi pada 27 Sept lepas ditutup pada 18 Okt selepas pihaknya berpuas hati dengan hasil analisis sampel dan mengisytiharkan kawasan berkenaan kekal bebas rabies.
“Kerjasama antara DVS dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan dipertingkat, khususnya dalam memastikan kes gigitan haiwan yang mendapatkan rawatan di klinik swasta turut dilaporkan segera kepada pihak berkaitan.
“Perkara ini penting bagi membolehkan haiwan terbabit dikesan, ditangkap dan diasingkan dengan segera, sekali gus mengurangkan risiko penularan wabak,” katanya.
Dr Mohd Noor Hisham berkata bagaimanapun pemantauan berkala akan diteruskan kerana kawasan berkenaan berhampiran sempadan dan berisiko menerima kemasukan haiwan yang mungkin membawa rabies.
Beliau menggesa orang ramai supaya segera melaporkan kejadian gigitan haiwan kepada pihak berkaitan dan mendapatkan rawatan perubatan bagi memastikan tindakan kawalan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki berusia 31 tahun dari Kubang Pasu meninggal dunia pada 27 Sept akibat jangkitan rabies selepas digigit anjing terbiar sekitar Ogos lepas.
-- BERNAMA
TAG: rabies, Kedah, veterinar, anjing, Dr Mohd Noor Hisham
MDF SMS SMK