26/10/2026 04:39 PM

Teo Harap Deepavali Bawa Kebahagiaan, Erat Kebersamaan Rakyat

Teo Harap Deepavali Bawa Kebahagiaan, Erat Kebersamaan Rakyat
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching turut meletakkan beras berwarna bersama petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi menghasilkan hiasan tradisional kolam sempena Program Menghias Kolam dan Rakaman Ucapan Hari Deepavali di Wisma Bernama, hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Sambutan Deepavali diharap membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada seluruh rakyat Malaysia, selain menjadi ruang untuk menghargai kepelbagaian perayaan dan juadah yang menjadi keunikan masyarakat majmuk di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata Deepavali bukan sahaja diraikan masyarakat beragama Hindu, malah turut dihargai rakyat Malaysia sebagai sebahagian daripada kepelbagaian perayaan yang menyatukan masyarakat.

“Saya berharap Deepavali ini juga dapat membawa kebahagiaan dan kegembiraan kepada semua orang.

“Pada masa sama, semasa musim ini, pastikan kita juga menjaga pemakanan kita. Jadi kita banyakkan manis-manisan di senyuman tetapi kurangkan manis itu dalam makanan yang kita makan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Menghias Kolam dan Rakaman Ucapan Hari Deepavali bersama pengurusan serta petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Wisma Bernama di sini hari ini.

Teo turut mengingatkan masyarakat supaya menghargai kebahagiaan dan kebebasan yang dinikmati ketika bersama-sama menyambut perayaan serta menikmati pelbagai hidangan.

Pada program itu, beliau menyempurnakan gimik menghias kolam bersama pengurusan dan petugas Bernama di lobi bangunan berkenaan.

Hiasan kolam itu ditaja Hong Leong Bank, manakala ruang acara turut menampilkan “Rang & Chhaap - The Art of Wooden Block Printing” atau seni cetakan blok kayu.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj, Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak serta Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson.

Program berkenaan turut merangkumi sesi rakaman ucapan Hari Deepavali bersama Teo, pengurusan dan petugas Bernama.

-- BERNAMA