KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Tindakan MCA meninggalkan majlis ketika pengenalan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 malam semalam, menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan rakan komponen parti, UMNO dalam menjalinkan kerjasama politik.
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Chang Lih Kang berkata situasi itu juga, turut mencetuskan keraguan terhadap asas kerjasama politik BN dengan parti-parti lain, sama ada berlandaskan prinsip dan kepercayaan atau sekadar kepentingan politik serta kuasa.
“Jika MCA, rakan komponen BN sejak sekian lama pun merasakan mereka tidak dihormati, bagaimana pula dengan parti-parti lain yang menjalin kerjasama dengan BN?
“Adakah kerjasama tersebut berlandaskan prinsip dan kepercayaan atau sekadar kepentingan politik dan kuasa?,” kata Chang yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, dalam satu kenyataan malam ini.
Sementara itu, Naib Ketua Wanita PKR Loh Ker Chean berkata MCA sepatutnya sudah lama mengenali corak layanan buruk UMNO terhadap rakan komponennya.
Loh berkata keadaan itu berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) apabila KEADILAN selaku parti pengasas gabungan berkenaan, tidak mengamalkan pendekatan sebagai “abang besar” atau membuli parti lain sepertimana yang didakwanya berlaku dalam BN.
“PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sentiasa bersikap konsultatif dan inklusif, walaupun dengan parti kecil seperti UPKO (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu) dahulu. Justeru, PH ini lebih kukuh dan stabil dalam mentadbir negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Danish Hairudin berkata tindakan MCA itu, menunjukkan parti berkenaan mula menyedari bahawa mereka tidak dihormati oleh UMNO selaku rakan gabungan sendiri.
Beliau mendakwa UMNO terlalu teruja dengan kemungkinan memperoleh keuntungan politik jangka pendek menerusi kerjasama dengan PAS, sehingga langsung tidak menghiraukan MCA dan MIC.
“Perkara ini turut menimbulkan persoalan sama ada mana-mana kerajaan gabungan yang melibatkan UMNO dan PAS, akan mengetepikan suara serta kepentingan golongan minoriti begitu sahaja.
“Hakikatnya, MCA dan MIC secara keseluruhannya hanya mempunyai tiga kerusi di Dewan Rakyat dan tidak mempunyai sebarang jawatan menteri,” katanya.
Terdahulu, MCA memaklumkan tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka tanpa mendapat persetujuan kepimpinan tertinggi.
Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan parti merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi MCA didakwa diberikan kepada parti lain.
Dalam pada itu, Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selepas merasmikan Program Larian Jambatan Sultan Nazrin Shah Bagan Datuk 2026 di Perak berkata isu ketidakpuasan hati MCA berhubung pengumuman calon BN bagi PRN Melaka ke-16, akan dibincangkan dan diselesaikan secara bersama sama sebelum 31 Okt ini.
Isu itu tercetus susulan tindakan Wee bersama kepimpinan MCA meninggalkan majlis berkenaan malam semalam, sebelum ucaptama Pengerusi BN dan pengumuman calon dan kemudiannya mengadakan sidang media di luar dewan.
-- BERNAMA