KUALA TERENGGANU, 25 Okt (Bernama) -- Sebanyak 460 lokasi di Terengganu dikenal pasti berisiko dilanda banjir susulan Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula Selasa ini.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu Osman Abdullah berkata daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi lokasi dijangka terjejas iaitu 97 kawasan, diiikuti Dungun (72), Hulu Terengganu (63), Setiu (59), Kemaman (55), Kuala Nerus (47), Marang (35) dan Besut (32).
Beliau berkata selain kedudukan lokasi yang terletak berhampiran sungai, faktor lain seperti sistem saliran yang tidak mampu menampung air hujan berterusan juga menjadi punca sesebuah kawasan senang dinaiki air.
"Antara punca utama berlakunya banjir di Terengganu, khususnya ketika musim Monsun Timur Laut ialah hujan lebat berterusan dalam tempoh yang panjang sehingga menyebabkan paras air sungai meningkat dan melimpah ke kawasan rendah serta penempatan sungai.
"Selain itu, air laut pasang tinggi yang menghalang aliran sungai keluar ke laut, sekali gus menyebabkan air bertakung dan meningkatkan risiko banjir. Ia diburukkan lagi dengan longkang dan saliran air tersumbat akibat sampah serta halangan lain yang mengganggu kelancaran aliran air," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. -- LAGI
Osman berkata faktor lain berlaku banjir ialah pembangunan dan perubahan guna tanah yang boleh menyebabkan aliran air di permukaan tanah, sehingga air lebih cepat mengalir ke kawasan rendah.
Beliau berkata susulan itu, Projek Tebatan Banjir Terengganu Utara (UMT) yang bernilai RM8 juta oleh Kerajaan Persekutuan dijangka dapat meningkatkan keupayaan sistem saliran sedia ada serta mengurangkan risiko di kawasan Kuala Nerus yang sedang pesat membangun.
“Projek itu dijangka mengurangkan keluasan kawasan berisiko banjir dari 700 hektar ke 450 hektar, sekali gus melindungi kira-kira 3,000 penduduk di kawasan perumahan Gong Badak daripada masalah banjir kilat.
"Projek UMT yang dilaksanakan JPS di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air telah diserahkan kepada kerajaan negeri bersama-sama Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu yang bernilai RM138 juta pada 15 Oktober lepas,” katanya.
Osman berkata projek itu penting bagi memastikan kawasan yang pesat membangun mempunyai sistem saliran lebih berkesan, sekali gus mewujudkan persekitaran lebih selamat serta kondusif untuk komuniti setempat.
Beliau berkata penambahbaikan sistem saliran bukan sahaja membantu mengurangkan risiko banjir dan impaknya terhadap penduduk dan harta benda, tetapi juga menyokong pembangunan kawasan kediaman, perindustrian serta komersial.
Dalam pada itu, Osman berkata projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu berjaya disiapkan pada 1 Sept lepas, 50 hari lebih awal dari tarikh kontrak asal iaitu 21 Okt.
Beliau berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan dua benteng pemecah ombak di bahagian utara sepanjang 640 meter dan selatan dengan jarak 585 meter, selain kerja penambahan pasir pantai sepanjang tiga kilometer.
"Projek turut melibatkan pembinaan dua struktur training wall sepanjang 160 meter setiap satu, serta dua perlindungan tebing. Penambahbaikan alur pelayaran dengan kedalaman hampir tiga meter membolehkan pergerakan bot berjalan lebih lancar dan selamat.
"Pembinaan benteng pemecah ombak membantu melindungi kawasan muara, manakala penambahbaikan aliran sungai ke laut menyumbang kepada pengurangan risiko banjir serta hakisan tebing sungai," katanya.
Osman berkata secara keseluruhan projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu bukan sahaja meningkatkan keselamatan dan kecekapan fungsi muara, malah menyokong kelangsungan aktiviti perikanan serta pelancongan setempat.
-- BERNAMA