Oleh Mohd Haidar Ali
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Pendekatan terhadap pesalah dadah perlu beralih daripada pemenjaraan semata-mata kepada rawatan ketagihan dan sokongan pascarawatan dalam komuniti bagi menangani kesesakan penjara serta mengelakkan bekas banduan kembali menagih.
Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya (UM) Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata pengasingan antara penagih yang memerlukan rawatan dengan pengedar dadah perlu diberi perhatian kerana ketagihan merupakan masalah kesihatan yang memerlukan intervensi bersesuaian, termasuk pendekatan pengurangan kemudaratan (harm reduction).
“Kita perlu menapis dan mengeluarkan golongan penagih daripada senarai banduan ... bila mereka direman atau dipenjarakan bersama banduan lain tanpa rawatan ketagihan, mereka akan mengalami relapse (kembali menagih) sejurus keluar, dan kitaran ini tidak akan berkesudahan,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kira-kira satu pertiga penghuni penjara ketika ini berstatus tahanan reman, dengan sebahagian daripada mereka ialah pesalah berkaitan dadah yang tidak mampu membayar wang jaminan atau tidak mendapat sokongan keluarga, sekali gus menyumbang kepada kesesakan.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata kira-kira 75 peratus daripada 90,000 penghuni di 41 penjara seluruh negara terlibat dalam kes dadah, dengan majoritinya terdiri daripada golongan penganggur berusia antara 15 hingga 39 tahun.
Penaung dan Ketua Penasihat Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) Datuk Dr Abd Halim Mohd Hussin, yang juga bekas Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berkata ketagihan dadah ialah penyakit kronik yang boleh berulang, manakala kelemahan sokongan selepas rawatan menyukarkan bekas penagih mengekalkan kepulihan.
Beliau berkata tanpa sokongan berterusan, bekas penagih berisiko kembali kepada persekitaran lama akibat tekanan hidup, kesukaran mendapatkan pekerjaan dan stigma masyarakat.
“Keluarga memang nak beri sokongan, tetapi kalau keluarga B40 contohnya, mereka perlu keluar bekerja untuk kelangsungan hidup, macam mana nak pantau anak ini?
“Sementara itu, bila mereka (bekas penagih) keluar mencari kerja dan tidak diterima masyarakat, rantaian pengedar dadah tempatan akan sentiasa mencari mereka semula kerana golongan ini adalah sasaran dan pasaran terbaik mereka,” katanya.
Abd Halim berkata selain memperkukuh pusat rawatan dan pencegahan sejak peringkat awal, kerajaan perlu memperkasakan peranan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di bawah AADK dengan menyediakan pengiktirafan serta imbuhan bersesuaian.
Beliau berkata PRS yang terdiri daripada bekas penagih yang telah pulih mempunyai pengalaman dan keupayaan untuk mendekati serta membimbing individu lain dalam proses kepulihan.
“PRS adalah bekas penagih yang telah pulih sepenuhnya (functional individual). Mereka tahu selok-belok, tahu cara mendekati dan membimbing rakan kepulihan yang lain. Kita perlu iktiraf keupayaan mereka kerana mereka ini ibarat barisan hadapan dalam menangani masalah dadah,” katanya.
Beliau berkata bilangan PRS berbayar ketika ini masih terhad dengan kira-kira 30 orang ditempatkan di seluruh Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), dan 54 orang di pejabat daerah, yang menerima bayaran mengikut kadar Personel Pekerja Singkat (MySTEP) di bawah kod OS29000.
Keadaan itu berbeza daripada kira-kira 150,000 PRS di bawah Kementerian Pendidikan dan 45,000 anggota Skuad Sukarelawan Antidadah, yang menjalankan peranan secara sukarela serta tidak terikat sepenuh masa.
Beliau turut mengambil maklum pelaksanaan inisiatif seperti penjara satelit dalam komuniti, namun menegaskan pelaburan lebih besar perlu diberikan kepada rawatan, pencegahan dan sokongan berterusan selepas pembebasan bagi membantu bekas penagih kembali menjalani kehidupan secara produktif.
-- BERNAMA