20/10/2026 12:23 PM

Permintaan Ke Politeknik Meningkat, Kemasukan Melepasi Kapasiti

Permintaan Ke Politeknik Meningkat, Kemasukan Melepasi Kapasiti
Kredit: Education Malaysia Global Services (EMGS)

KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Permintaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di politeknik menunjukkan peningkatan ketara tahun ini apabila lebih 32,000 pelajar hadir untuk mengikuti pengajian, berbanding kapasiti kira-kira 24,000 tempat yang disediakan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) Dr Shamsuri Abdullah berkata lebihan 8,000 pelajar itu mencerminkan peningkatan minat terhadap laluan pendidikan berasaskan kemahiran dan teknikal.

“Yang mengejutkan kami untuk tahun ini, terutama di politeknik, kehadiran ataupun kedatangan pelajar di luar jangkaan, lebih kurang 8,000 orang. Ini menunjukkan permintaan itu semakin tinggi,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada program Forum Pendidikan Tinggi Malaysia-Asia Tengah (MAHEF) 2026 di Astana, Kazakhstan baru-baru ini.

Beliau berkata ketika ini, kira-kira 114,000 pelajar mengikuti pengajian di 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh negara, dengan sekitar 96,000 hingga 97,000 daripadanya di politeknik.

Shamsuri berkata antara langkah memperluas akses kepada TVET ialah membuka peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk mengikuti program teknologi dan kejuruteraan.

Beliau berkata sebagai contoh, bagi program elektrik dan elektronik, perbincangan dengan Lembaga Jurutera Malaysia membolehkan syarat kemasukan tertentu dilonggarkan, daripada kepujian kepada lulus Matematik, dengan pelajar perlu mengikuti serta lulus kursus Matematik pemulihan pada semester pertama.

Langkah itu menyaksikan kemasukan ke program berkaitan meningkat daripada kira-kira 1,000 pelajar sebelum ini kepada lebih 5,000 orang tahun ini.

“Ini membuktikan pelajar lepasan SPM bukan tidak berminat tetapi mereka tidak memenuhi syarat. Kami berjaya menyediakan peluang kedua kepada mereka yang bukan daripada aliran STEM untuk mengikuti program teknologi dan kejuruteraan,” katanya.

Selain bidang elektrik dan elektronik, program Diploma Perakaunan, Pengajian Perniagaan, Kulinari, Hospitaliti, Pelancongan dan Logistik turut mencatat permintaan tinggi.

Dalam pada itu, JPPKK sedang memperkenalkan pendekatan Pendidikan Teknikal dan Profesional (PTE) bagi membawa TVET ke dimensi baharu, sejajar dengan perkembangan teknologi dan keperluan pekerjaan masa hadapan.

Shamsuri berkata pendekatan PTE memberi penekanan kepada teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan Internet Benda (IoT), selain pensijilan profesional serta kompetensi tambahan yang diiktiraf industri.

“TVET sering dilihat seolah-olah hanya melibatkan kemahiran pertukangan tetapi dengan kemunculan teknologi seperti AI dan IoT, pembelajaran bukan lagi sekadar berasaskan amali, malah turut menuntut keupayaan berfikir. Kami mahu meletakkan semula politeknik dan kolej komuniti sebagai institusi PTE,” katanya.

Beliau berkata pendekatan pembelajaran turut disesuaikan dengan perubahan cara generasi muda mendapatkan ilmu melalui video, platform digital, teknologi generatif dan pengalaman praktikal.

Pada masa sama, pendedahan kepada industri terus diperkukuh menerusi latihan industri sekurang-kurangnya enam bulan bagi program tertentu serta pembelajaran berasaskan kerja (WBL).

Shamsuri berkata politeknik turut menawarkan program ijazah sarjana muda di institusi terpilih sejak 2013, selain program sijil dan diploma manakala kolej komuniti menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat menerusi kursus jangka pendek.

Kursus berkenaan merangkumi kemahiran seperti jahitan, masakan, komputer, AI dan bidang teknikal yang boleh membantu peserta meningkatkan kemahiran, menjana pendapatan serta memperluas peluang pekerjaan.

Beliau berkata kurikulum turut diselaraskan secara berterusan dengan keperluan industri menerusi Jawatankuasa Penasihat Industri di peringkat program, institusi dan nasional bagi memastikan graduan memiliki kemahiran yang relevan dengan pasaran pekerjaan.

-- BERNAMA